Monday, November 28, 2011

Mesir:BANTAHAN PEMERINTAHAN TENTERA MEWARNAI PILIHANRAYA MESIR



MEDAN TAHRIR - Penunjuk perasaan berhimpun di Medan Tahrir, Kaherah, dalam usaha untuk mengusir pihak tentera dari tampuk pimpinan negara sejak mengambil alih dari Presiden Hosni Mubarak.

Pilihan raya parlimen yang bermula Isnin ini merupakan langkah awal pihak pemerintah dalam rangka jadual ke arah mewujudkan pemerintahan demokrasi yang dijanjikan pada Julai tahun depan.

Akan tetapi, penunjuk perasaan mahu Majlis Tentera Negara berundur dan menolak pemilihan Kamal Al-Ganzouri (78 tahun) membentuk kabinet seterusnya.

Rakyat Mesir mahu keadaan negara kembali stabil selepas 42 orang menjadi korban manakala 2000 orang cedera ekoran pertempuran yang berlaku. Rakyat hanya meminta kerajaan menjalankan pemerintahan negara dengan lebih telus dalam menyelesaikan kemelut politik yang melanda.

Menjelang pilihan raya parlimen, Hussien Tantawi, Ketua Majlis Tentera Negara berkata, pihak tentera akan memastikan keselamatan di setiap pusat mengundi. Beliau turut menegaskan bahawa pilihan raya akan dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan. Keputusan pilihan raya parlimen kali ini mempunyai dua kemungkinan iaitu kejayaan pilihan raya Mesir atau menghadapi ancaman berbahaya dalam angkatan tentera, yang merupakan rakyat Mesir sendiri selepas pilihanraya tamat.

Bimbang dengan kekacauan di Mesir, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) telah mengutuk "kuasa berlebihan" yang digunakan oleh pihak berkuasa dan menggesa pertukaran segera pemerintahan kepada pemerintahan secara demokrasi.

Sebahagian daripada penunjuk perasaan memihak kepada Mohamed El-Baradei, bekas Ketua Badan Pemantau Nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang telah menawarkan diri untuk menjadi presiden dan memimpin kerajaan ke arah perpaduan. Penunjuk perasaan menyokong pemimpin tersebut kerana tidak yakin dengan pemerintahan Kamal Al-Ganzouri dan sesiapa sahaja yang bakal dilantik olehnya.

ElBaradei sangat dihormati di kalangan kempen pro-demokrasi. Beliau juga mempunyai profil antarabangsa yang hebat. Akan tetapi rakyat Mesir melihat beliau seperti hilang sentuhan kepimpinan kerana beliau banyak menghabiskan sebahagian besar kerjayanya di luar negara.

DISEDIAKAN OLEH: JAWATANKUASA OPS KESELAMATAN PMRAM 2011

Sumber diolah: Sundays Zaman

0 comments:

Post a Comment

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

HEWIPMRAM

Footer Widget #3

Tetamu

Copyright 2010 We Care for Islam. All rights reserved.

rss digg delicious facebook