Wednesday, March 31, 2010

Masa sesuai damai di Afghanistan - Militan

Khamis, 25-3-2010, KABUL - Perwakilan satu kumpulan militan yang mempunyai hubungan dengan ketua kabilah terkenal Afghanistan berharap untuk menyakinkan para pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa kini adalah masa yang tepat untuk rundingan damai dengan pemberontak. Seorang jurucakap kumpulan Hizb-i-Islami, Mohammad Daoud Abedi berkata, PBB meminta delegasi berkenaan untuk mengadakan pertemuan susulan antara kumpulan yang ada hubungan dengan Taliban itu dengan Presiden Hamid Karzai awal minggu ini. Beliau berkata, kumpulan berkenaan juga merancang mengadakan perbincangan dengan perwakilan daripada Kesatuan Eropah (EU), namun para pegawai di pejabat EU tidak tahu menahu mengenainya. Desas-desus berhubung kemungkinan perdamaian dengan kumpulan-kumpulan pemberontak, bagaimanapun tidak mengurangkan kejadian keganasan, terutamanya di selatan Afghanistan di mana oprasi tentera sedang digerakkan untuk mengusir Taliban daripada sebahagian wilayah Helmand. Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, dua anggotanya terbunuh dalam pengeboman semalam dan seorang lagi mati akibat ditembak di selatan negara ini. Ia merupakan kali pertama perwakilan peringkat tinggi kumpulan permberontak yang diketuai Gulbuddin Hekmatyar berkunjung ke sini untuk membincangkan perdamaian. Adalah tidak jelas sama ada perbincangan dengan kumpulan Hekmatyar akan membawa kepada tamatnya perang lapan tahun itu ekoran permintaan kumpulan tersebut agar semua tertera asing keluar dengan segera dari negara ini. Hizb-i-Islami mahu tentera asing keluar mulai Julai ini, setahun sebelum rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama untuk berbuat demikian jika keadaan mengizinkan. Bagaimanapun, Abedi berkata, kumpulan berkenaan adalah fleksibel terhadap syarat utama itu dalam tawaran 15 perkara perdamaian yang dikemukakannya. ''Ini adalah langlah permulaan,'' ''Jika kita mulakan proses ini, kita boleh bersedia dalam lebih kurang setahun. Jika Presiden Obama mahu situasi sesuai untuk mengunduran tentera asing dari Afghanistan, beliau seharusnya memulakan perbincangan dan mengambil beberapa langkah jelas dan jujur untuk mewujudkan situasi yang dapat diterima. ''Sebab inilah kami mengemukakan cadangan ini yang bermaksud jika anda benar-benar ikhlas mari kita selesaikan perkara ini,'' kata Abedi dalam satu perbualan telefon dengan The Associated Press (AF). Jurucakap Kedutaan AS, Caitlin Hayden berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk bertemu dengan perwakilan kumpulan Hekmatyar. Menurut Abedi, pihaknya berharap para pegawai Eropah dapat memujuk kerajaan AS untuk terlibat dalam perbincangan berkenaan. Taliban telah menolak tawaran damai Hizb-i-Islami, namun Abedi berkata, kedua-dua kumpulan berkenaan mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu tidak mahu kehadiran tentera asing di Afghanistan.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0326&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

0 comments:

Post a Comment

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

HEWIPMRAM

Footer Widget #3

Tetamu

Copyright 2010 We Care for Islam. All rights reserved.

rss digg delicious facebook