Wednesday, March 31, 2010

Kemboja ancam usir pegawai PBB

Isnin, 22-3-2010, PHNOM PENH - Kerajaan Kemboja mengancam untuk mengusir seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana dituduh mencampuri politik Kemboja. Kementerian Luar Kemboja melahirkan kebimbangan terhadap komen Penyelaras Tetap PBB Douglas Broderick, yang menggesa lebih banyak debat awam tentang rang undang-undang anti-rasuah diadakan bagi melindungi hak penduduk Kemboja dan memenuhi piawaian antarabangsa. "Komen itu terlalu berterus terang dan tidak boleh diterima kerana mencampuri hal ehwal dalam negeri Kemboja," kata Menteri Hal Ehwal Luar Hor Namhong menerusi satu surat kepada Broderick, kelmarin. Menurut Namhong dalam surat itu yang didedahkan hari ini kepada Reuters, sekiranya ia berlaku sekali lagi, Kemboja tidak teragak-agak untuk mengusirnya. Jurucakap PBB, Margaret Lamb, bagaimanapun enggan mengulas berhubung perkara tersebut. Perhimpunan Kebangsaan Kemboja yang dikuasai Parti Rakyat mengundi untuk menyokong rang undang-undang yang telah lama dinantikan pada 11 Mac lalu, walaupun mendapat tentangan daripada PBB dan kumpulan persatuan sivil yang menuntut penangguhan pengundian supaya ia boleh dirujuk kepada rakyat terlebih dahulu. Penggubal undang-undang pembangkang bertindak meninggalkan pengundian kerana membantah undang-undang tersebut yang disifatkan kurang telus selain menghalang individu daripada melaporkan rasuah yang semakin berleluasa di Kemboja, di mana pemberian rasuah sering diamalkan dalam urusan perniagaan. "Untuk pengetahuan, tiada draf undang-undang di dunia yang dikongsi dengan pemegang saham berkepentingan termasuk persatuan awam," kata Broderick selaku Ketua Pasukan Negara PBB di Kemboja dalam satu kenyataan kepada media pada 10 Mac lalu. Kementerian Luar Kemboja berkata, Broderick bertindak tanpa arahan daripada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm

0 comments:

Post a Comment

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

HEWIPMRAM

Footer Widget #3

Tetamu

Copyright 2010 We Care for Islam. All rights reserved.

rss digg delicious facebook