Thursday, March 18, 2010

57 maut gempa bumi landa timur Turki

Selasa, 9-3-2010, ANKARA: Satu gempa bumi kuat berukuran 6 skala Richter, melanda timur Turki semalam, mengakibatkan 57 orang terbunuh dan memusnahkan rumah di sekurang-kurangnya enam perkampungan. Gempa berkenaan melanda enam kampung di wilayah Elazig, dan meruntuhkan rumah batu dan menara masjid, kata Bekir Yanilmaz, datuk bandar Kovancilar kepada tesen televisyen CNN-Turk. Pusat krisis kerajaan pula menyatakan 51 orang maut dalam kejadian itu. Kawasan paling teruk dilanda adalah kampung Okcular di mana kira-kira 17 orang dilaporkan maut dan rumah mereka runtuh berderai menjadi habuk. Kira-kira 13 orang lagi terbunuh di kampung Yukari Demirci, kata Gabenor Muammer Erol. Pusat krisis kerajaan berkata kira-kira 100 orang turut cedera dalam gempa berkenaan, yang berlaku kira-kira jam 4.32 pagi di wilayah Elazig, kira-kira 550 kilometer di timur Ankara, ibu negara Turki. Gempa itu, yang berlaku ketika ramai orang nyenyak tidur, berpusat berhampiran kampung Basyurt. Ia diikuti dengan lebih 30 gegaran, yang paling kuat berukuran 5.5 skala Richter, kata pusat seismologi Kandilli. Pasukan penyelamat cuba menyelamatkan empat orang daripada kesan runtuhan, kata Muammer Erol. Stesen televisyen CNN-Turk berkata antara mereka yang maut termasuk empat adik-beradik perempuan yang terperangkap dalam runtuhan. "Semua bangunan runtuh,i," kata Yadin Apaydin, pentadbir kampung Yukari Kanatli dan tiga penduduk kampung terkorban. Pihak berkuasa melakukan sekatan di jalan yang menuju ke kampung Okcular, bagi memudahkan ambulans dan pasukan penyelamat keluar masuk di jalan kampung yang sempit itu. Saudara mara berkejar ke tempat kejadian untuk mendapatkan berita mengenai orang yang disayangi. "Kampung ini sudah rata," kata pentadbir Okcular, Hasan Demirdag kepada stesen televisyen swasta, NTV. Ali Riza Ferhat, seorang penduduk Okcular, berkata dia terjaga daripada tidur akibat gegaran itu. "Saya cuba membuka pintu tetapi ia tidak dapat dibuka. Saya keluar menerusi tingkap dan kemudian membantu jiran tetangga," katanya kepada televisyen NTV. "Kami keluarkan enam mayat." Gempa itu turut dirasai di wilayah berdekatan seperti Tunceli, Bingol dan Diyarbakir, penduduknya melarikan diri ke jalan raya dalam keadaan panik dan bermalam di luar. Ada sebilangan orang cedera dalam keadaan panik itu, apabila mereka melompat daripada tingkap atau balkoni. Agensi berita Dogan menunjukkan gambar orang ramai membawa mangsa cedera ke hospital dengan kereta dan teksi. Pengarah Balai Cerap Kandilli, Mustafa Erdik, menggesa penduduk supaya tidak memasuki rumah yang musnah, dan memberi amaran mereka boleh terjatuh akibat gegaran selepas gempa, yang mungkin berlaku selama beberapa hari. Gempa bumi sering berlaku di Turki, sebahagian besarnya di utara Anatolia. Pada 1999, dua gempa kuat melanda timur laut Turki, mengorbankan 18,000 orang.

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Dunia/20100309000102/Article/indexworld_html

0 comments:

Post a Comment

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

HEWIPMRAM

Footer Widget #3

Tetamu

Copyright 2010 We Care for Islam. All rights reserved.

rss digg delicious facebook