Thursday, March 18, 2010

500 maut pergaduhan agama di Nigeria

Isnin, 8-3-2010, JOS, Nigeria 8 - Kerajaan Nigeria mengerah tentera ke wilayah bergolak utara Jos hari ini selepas kumpulan-kumpulan bersenjatakan parang menyerang kampung-kampung yang menurut para pegawai menyebabkan sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh. Menghadapi tekanan hebat ekoran kegagalan mengekang penularan keganasan puak hanya beberapa minggu selepas ratusan orang terbunuh dalam pergaduhan melibatkan orang Islam dan Kristian, pihak berkuasa Nigeria berkata, puluhan orang ditangkap berkaitan serangan tersebut. Akhbar-akhbar melaporkan, penduduk Islam di kampung-kampung tersebut telah diberi amaran menerusi pesanan ringkas telefon dua hari sebelum serangan agar mereka boleh melarikan diri. Saksi kejadian pula berkata, mangsa yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dalam serangan ganas sistematik selama tiga jam semalam itu ditangkap menggunakan perangkap haiwan dan pukat nelayan ketika mereka cuba melarikan diri daripada para penyerang yang kemudiannya menetak mereka hingga mati. Angka rasmi korban pada awalnya berjumlah lebih sedikit daripada 100 orang namun Penasihat Kerajaan Negeri Plateau, Dan Manjang berkata, jumlahnya jauh lebih besar. ''Kami berjaya memberkas 95 orang namun pada ketika yang sama lebih 500 orang sudah dibunuh dengan kejam,'' katanya. Siaran radio kerajaan juga melaporkan 500 orang telah disembelih dalam serbuan ke atas tiga kampung di pinggir Jos, ibu negeri Plateau. Saksi dan aktivis hak asasi meletakkan angka korban antara 200 hingga 250 orang. Sebahagian besar keganasan tertumpu di sekitar kampung Dogo Nahawa di mana kumpulan-kumpulan yang kebanyakannya dianggotai oleh etnik Fulani beragama Islam membakar pondok-pondok tanah beratapkan jerami kering sebelum melakukan pembunuhan. Mereka juga berkata, serangan tersebut menunjukkan permusuhan ketara antara puak Fulani dan Berom yang pada mulanya berpunca daripada kecurian lembu sebelum menular kepada serangan membalas dendam. Aktivis hak asasi berkata, serangan semalam kelihatan seperti tindakan membalas dendam terhadap serangan pada awal tahun ini di mana kebanyakan yang terbunuh adalah orang Islam. Dalam serangan pada Januari lalu itu, polis berkata, 326 terbunuh tetapi kumpulan hak asasi berkata, jumlah kematian adalah melebihi 550 orang.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

0 comments:

Post a Comment

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

HEWIPMRAM

Footer Widget #3

Tetamu

Copyright 2010 We Care for Islam. All rights reserved.

rss digg delicious facebook