Atas semangat persaudaraan serumpun, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Management & Science University (MSU) dengan kerjasama Student & Career Development (SCD) dibantu Malaysia Relief Agency (MRA) menjalankan misi kemanusiaan ke Padang, Indonesia, baru-baru ini.
Misi, Pandanglah Padang 2 ini susulan misi pertama akhir tahun lalu bagi melawat mangsa gempa bumi selain menjana kecemerlangan ilmu dan pemantapan insaniah graduan.
Exco Kerohanian MPP, Fatin Mohamed, berkata selain menyambung silaturahim, ia memberi pendedahan pendidikan dan ilmiah bagi membantu proses pembelajaran.
Menurutnya, pendekatan itu diharap mampu memperkukuhkan kredibiliti pelajar MSU di peringkat antarabangsa.
"Ia bukan saja mendidik menghargai nilai kemanusiaan malah memberi penekanan pembangunan insaniah, keyakinan diri dan komunikasi.
"Program ini platform terbaik membina personaliti positif sekali gus meningkatkan nilai tambah pelajar dalam kehidupan bermasyarakat dan industri kerjaya," katanya.
Seramai 16 pelajar terbabit dalam misi yang menekankan kepentingan pendidikan kepada masyarakat, antaranya modul bagi penyelesaian Matematik, aplikasi Sains dalam kehidupan seharian serta Bahasa Inggeris.
Pelajar turut bergotong-royong mendirikan rumah selain klinik bergerak bagi memudahkan penduduk mendapat rawatan kesihatan.
Mereka turut melawat Pesantren Tapuz di Pariaman, Pesantren Pendidikan Anak Usia Dini (PAUD) di Kampung Tandikat dan Pesantren Hamka (gambar) di Maninjau, Sumatera Barat.
Katanya, pengalaman bersama mereka kurang bernasib baik mampu memberi kesedaran kepada peserta menghargai nilai keamanan.
"MPP bangga melaksanakan tanggungjawab ini dan berharap program lain selepas ini memberi impak lebih baik sekali gus menjadikan warga MSU lebih prihatin, peka dan berdaya saing," katanya.
0 comments:
Post a Comment