Thursday, March 18, 2010

25 korban pilihan raya umum Iraq

Isnin, 8-3-2010, BAGHDAD: Rakyat Iraq berduyun-duyun keluar mengundi semalam tanpa menghiraukan keganasan yang meletus mengakibatkan 25 orang terbunuh, dalam pilihan raya umum kedua sejak Presiden Saddam Hussein digulingkan. Seramai 19 juta rakyat negara itu layak mengundi dalam pilihan raya untuk memilih kerajaan yang akan menyaksikan pengunduran tentera Amerika Syarikat yang menceroboh Iraq sejak 2003. Kumpulan pemberontak yang berjanji akan mengganggu pilihan raya yang mereka lihat sebagai langkah mengesahkan kerajaan pimpinan Syiah dan pendudukan oleh Amerika Syarikat, melancarkan serangan mortar secara bertalu-talu di sekitar bandar raya Baghdad dan seluruh negara. Sekurang-kurangnya 12 orang maut di timur laut Baghdad selepas satu letupan meruntuhkan sebuah bangunan, sementara serangan mortar di barat Baghdad membunuh beberapa orang lagi, kata polis dan pegawai hospital. Kejadian letupan juga berlaku di tempat lain, tetapi tiada laporan mengenai mangsa terkorban. Kumpulan pemberontak juga menyerang Zon Hijau - kawasan di mana terletaknya Kedutaan AS dan pejabat perdana menteri - dan kubu kuat Sunnah di Azamiyah, yang melaporkan berlaku sekurang-kurangnya 20 serangan meriam sejak awal pagi. Namun, dalam keadaan sedemikian pun, pengundi masih keluar mengundi. Di Azamiyah, Walid Abid, seorang bapa berusia 40 tahun dan mempunyai dua anak, sedang bercakap apabila dua meriam terdampar hanya beberapa ratus meter saja dari situ. “Saya tidak takut dan saya tidak akan duduk di rumah. Sehingga bila? Kami perlu mengubah keadaan sekarang. Jika saya duduk di rumah dan tidak keluar mengundi, Azamiyah akan menjadi bertambah teruk,” katanya. Di Hurriyah, sebuah kawasan pendudukan Syiah di barat laut Baghdad, pembesar suara di masjid digunakan bagi mendesak orang ramai supaya keluar mengundi. Kira-kira 6,200 calon bertanding bagi merebut 325 kerusi dalam parlimen barunya. Perdana Menteri, Nuri al-Maliki kini terpaksa memperjuangkan nasib masa depannya dalam politik dan menghadapi pakatan pembangkang yang dianggotai kumpulan keagamaan Syiah - ‘Majlis Agung Islam Iraq’ dan sebuah parti pimpinan ulama anti-Amerika, Muqtada al-Sadr. Beliau menghadapi tentangan pakatan sekular diketuai Ayad Allawi, bekas perdana menteri dan ulama Syiah, yang berpakat dengan beberapa anggota Sunnah dalam usaha untuk mengambil alih kerajaan.

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20100307231429/Article/index_html

0 comments:

Post a Comment

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

HEWIPMRAM

Footer Widget #3

Tetamu

Copyright 2010 We Care for Islam. All rights reserved.

rss digg delicious facebook