Thursday, March 18, 2010

Tentera Indonesia buru militan di Aceh

Ahad, 7-3-2010, IDOH TUNONG, Indonesia - Anggota skuad polis antikeganasan yang diserang militan minggu lalu, meneruskan pemburuan dari kampung ke kampung untuk menghapuskan kumpulan pengganas baru di wilayah Aceh, barat Indonesia. Sejak serbuan ke atas kem latihan militan pada 22 Februari lalu, polis sudah memberkas 16 suspek anggota kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Jemaah Islamiah (JI), yang rapat dengan al-Qaeda dan bertanggungjawab terhadap serangan bom di negara ini sejak beberapa tahun lalu. Namun kebanyakan dari mereka dipercayai masih berada di kawasan hutan tebal di daerah Aceh Besar dekat kem latihan tersebut, kata ketua skuad antikeganasan, Sarjan Abdi. "Mereka benar-benar berbahaya, jadi kami perlu menangkap mereka baik hidup mahupun sudah mati," kata Abdi kepada The Associated Press di perkampungan Idoh Tunong di mana anggotanya yang lengkap dengan perisai badan dan raifal menyoal penduduk dan menggeledah kawasan sawah padi dan pinggir hutan bagi mencari kumpulan militan itu. Khamis lalu, lebih 20 militan menyerang hendap pasukan Abdi yang terdiri dari 30 anggota ketika melakukan pencarian di perkampungan Lamkabeue, kurang tiga kilometer dari barat ibu negeri, Banda Aceh. Mereka percaya militan itu diberi maklumat mengenai pergerakan pasukan antikeganasan itu. "Pengganas menyerang secara tiba-tiba pada jarak 300 meter, namun kami tidak melihat mereka kerana mereka bersembunyi di dalam semak-samun yang tinggi," ujarnya lagi. Tambah Abdi, tiga anggotanya maut dan 11 lagi cedera. Mayat seorang militan ditemui semalam namun polis percaya sekurang-kurangnya dua lagi cedera dan dibawa pergi oleh rakan mereka. Baki 20 anggota pasukan Abdi terus menjalankan tugas ketika polis menggiatkan lagi usaha memburu. Polis juga mewujudkan pos kawalan setiap beberapa kilometer di Aceh Besar. Dua suspek ditahan sejak Jumaat lalu dan ditempatkan di Banda Aceh, namun tiada dakwaan dikenakan. Seorang daripada mereka adalah seorang lelaki berusia 36 dari Kepulauan Jawa yang ditangkap ketika menaiki bas di luar Aceh Besar, kata ketua polis Banda Aceh, Leftenan Kolonel Haryanta. Beliau bagaimanapun enggan memberi maklumat terperinci mengenai seorang lagi suspek. Semalam, sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka 'al-Qaeda di Aceh' mengeluarkan kenyataan di Internet, mendakwa ia menjadi sasaran operasi polis namun akan meneruskan perjuangan menentang 'Yahudi Zionis dan Kristian serta mereka yang murtad'. Sukar untuk mengesahkan kenyataan tersebut dan ia sedang disiasat oleh polis.
Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

0 comments:

Post a Comment

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

HEWIPMRAM

Footer Widget #3

Tetamu

Copyright 2010 We Care for Islam. All rights reserved.

rss digg delicious facebook