Monday, March 15, 2010

17 maut serangan bunuh diri di Kabul


PEGAWAI penyiasat Afghanistan meninjau lokasi kejadian ketika anggota bomba melakukan kerja menyelamat dalam satu serangan bunuh diri di Kabul, semalam. - Foto Reuters

Pejuang Taliban mengaku bertanggungjawab

Sabtu, 27-2-2010 - KABUL: Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dan 32 lagi cedera dalam serangan bunuh diri di tengah Kabul semalam, serangan paling dahsyat di ibu negara Afghanistan bagi tempoh beberapa bulan dan yang pertama sejak tentera asing diketuai Amerika melancarkan operasi besar-besaran memerangi pejuang Taliban. Polis dan saksi berkata serangan itu disusuli beberapa letupan bom dan tembakan senjata di kawasan hotel kecil yang menjadi tempatan penginapan warga asing. Pejuang Taliban mengaku bertanggungjawab dan berkata lima pengebom bunuh diri melancarkan serangan awal pagi ke atas dua bangunan yang digunakan warga asing, manakala polis berkata sekurang-kurangnya tiga penyerang terbabit. Seorang penghuni hotel, Dr Surbod Sanjiv Paul dari India berkata beliau bersembunyi di dalam bilik air selama tiga jam apabila serangan itu berlaku. "Ketika keluar, saya melihat dua atau tiga mayat. Apabila tembakan pertama kedengaran, bom di dalam kereta pertama meletup, menyebabkan bumbungnya terpelanting hampir mengenai kepala saya," katanya. Ketua Siasatan Jenayah Jabatan Polis Kabul, Abdul Ghafar Sayedzada berkata 17 orang terbunuh dan 32 lagi cedera dalam serangan itu. Beliau berkata antara yang terbunuh termasuk tiga anggota polis, manakala kebanyakan mangsa lain adalah warga India, seorang masing-masing warga Itali dan Perancis. "Sasaran serangan ialah dua hotel berhampiran. Letupan bom kereta meranapkan Rumah Rehat Hamid. Pengebom turut menyerang hotel Park Residence," katanya. Seorang wartawan asing yang berada di lokasi kejadian mendakwa melihat polis membawa tujuh mayat dari Park Residence. Seorang pekerja hotel, Najibullah, 25, berkata beliau melihat warga asing menangis dan berteriak. Beliau bagaimanapun sempat melarikan diri sejurus mendengar bunyi letupan itu. Najibullah yang ditemui wartawan dalam keadaan berlumuran darah berkata, beliau melihat dua pengebom bunuh diri di bangunan itu. "Keadaan sungguh dahsyat. Tuhan melindungi saya, jika tidak saya pasti sudah mati. Saya melihat dua penyerang meletupkan bom di tubuh mereka," katanya. Letupan itu juga mengejutkan penghuni di Pusat Bandar Kabul, sebuah bangunan sembilan tingkat yang turut menempatkan Hotel Landmark Safi. Saksi berkata letupan membentuk kawah seluas satu meter, manakala tingkap di hotel Safi turut pecah dan serpihan kaca bertaburan. Dua jam selepas letupan pertama, tembakan senjata terus kedengaran. Polis yang memakai topeng gas berusaha menahan seorang penyerang dikenali sebagai Abdulrahman, yang bersembunyi di tingkat bawah tanah bangunan hotel.

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20100226231213/Article/indexworld_html

0 comments:

Post a Comment

 

Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir

HEWIPMRAM

Footer Widget #3

Tetamu

Copyright 2010 We Care for Islam. All rights reserved.

rss digg delicious facebook